Baru melawat blog siggplus dan terbaca pasal Contest Ayahku Sayang. Walaupun dah lama berlalu, tetapi aku rasa tak salah aku nak berkongsi di sini. Nak baca entry-entry mereka bolehlah ketik di sini
http://bard87.blogspot.com/2010/01/contest-ayahku-sayang.html
Lihat di bahagian comment. Semua peserta telah paste link entry mereka di situ.
Menangis dengan mudah sekali. Airmataku bergenang dan mengalir pantas menuruni tubir mata. Cengengkah aku? Memangnya aku begitu. Sensitif pada kisah sedih. Jarang sekali aku dapat menahan titisan air jernih tatkala melihatkan atau mendengarkan kisah sedih.
Bagi aku, semuanya adalah pemenang. Siapa kita mahu menilai kenangan yang telah tercipta antara mereka dan ayah mereka? Setiap satunya tidak ternilaikan.
Alhamdulillah aku masih punya ayah yang sihat. Moga Allah memanjangkan usia ayah hingga dapat melihat aku memiliki kerjaya yang membanggakan. Apa yang aku mahu kongsikan tentang ayah di sini, biarlah sebagai kenangan di kala aku masih mempunyai ingatan yang kuat.
Aku tak punya ingatan yang baik sebenarnya. Banyak kenanganku ketika masih kecil yang aku tak dapat ingat. Buktinya, adikku lebih banyak menceritakan kenangannya ketika kecil berbanding aku. Tetapi ada satu kenangan yang sangat lama masih kusimpan kejap dalam ingatan walaupun aku tak ingat berapa umurku ketika itu.
Mengikut perkiraan, mungkin aku baru berumur 2 tahun. Kerana emak tidur di rumah atok aku. Mungkin ketika itu emak berpantang selepas melahirkan adik. Tinggal aku dengan ayah di rumah kami pada malam itu. Pada masa itu, aku masih ingat, ayah ada membela lembu. Pada malam itu, ayah mendukung aku di atas tengkuknya dan membawa aku keluar untuk menyalakan api di kandang lembu untuk menghalau nyamuk yang menggigit lembu. Kasih sayang ayah pada masa itu masih terasa.
Ayahku seorang yang sangat garang. Aku sangat gerun pada matanya yang cengil ketika marah. Tetapi aku juga seorang yang degil dan keras kepala. Bila ayah memutuskan sesuatu yang aku tidak suka, aku akan melawan. Aku rasa aku perlu mempertahankan hak aku. Jadi aku akan membidas apa yang ayah cakap. Dan ayah pasti akan memukulku dengan sekeras-kerasnya. Aku pernah dipukul dengan seberkas lidi yang besar sampai berbirat seluruh betisku. Aku pernah dipukul dengan tali pinggang, dibaling dengan tin MILO dan macam-macam lagi.
Aku selalu menangis selepas kena pukul dengan ayah. Aku akan hempaskan pintu bilik dan mengunci dari dalam. Kemudian aku akan menangis dan meratap sampai tertidur. Kadang-kadang ayah akan panjat dinding dan masuk ke dalam bilik untuk sapu ubat pada tempat yang dipukul. Emak selalu cakap, ayah sesal lepas pukul aku. Mungkin pada masa tu, ayah masih muda dan baran. Tapi aku tau ayah sayang aku. Walau marah macam mana pun aku pada ayah, bila dia sapu ubat pada luka aku, kemarahan aku terpadam.
Aku bersyukur kerana ayah didik aku begitu. Kerana didikan begitulah aku berjaya dalam setiap peperiksaan yang aku duduki. Kerana takutkan ayah, aku berhenti ikut kawan-kawan aku merayau ke sana-sini setiap petang. Kerana takut kena pukul, aku belajar tekun di rumah bila kawan-kawan aku masih berkeliaran di jalan.
Sampai sekarang ayah masih garang. Tapi dia tak lagi pukul aku macam dulu. Aku dah besar, pasti dia tahu aku sudah boleh fikir sendiri. Kalau salah, paling tidak pun ayah akan tengking aku. Pernah juga dia tidak bercakap dengan aku kerana aku pulang lewat. Paling kelakar, dia tumpahkan kemarahan pada benda lain. Volume TV kuat pun dia mengomel. Lampu lambat menyala pun dia membebel. Sampai aku rasa tak tahan tengok dia asyik membebel pada benda-benda yang tak faham bahasa tu.
Kadang-kadang aku rasa ayah kedekut. Kalau nak mintak apa-apa dari ayah pasti susah nak dapat. Ayah akan membebel-bebel mengalahkan perempuan. Lebih senang mintak dengan emak. Tapi sebenarnya bebelan ayah adalah satu muqaddimah sebelum dia bagi apa yang aku mintak. Contoh kalau aku mintak duit nak beli kasut baru, ayah akan mengungkit bil elektrik bulan ni melambung, beli barang dapur mahal dan macam-macam lagi. Tapi lepas membebel ayah akan tanya RM20 cukup tak? Biasanya aku akan cakap cukup. Sebab aku tahu ayah susah payah cari duit. Bila ada antara ayah orang lain duduk dalam office berhawa dingin menyemak laporan atau buat kerja-kerja lain, ayah aku berhempas pulas di bawah terik matahari, bermandikan peluh di dalam sawah semata-mata mengambil upah menabur padi atau baja.
Aku akan minimumkan penggunaan duit yang ayah bagi supaya duit itu tak terbazir begitu saja. Macam line yang Raja Farah sebut dalam iklan beras Jati 'Sebutir nasik tu, ibarat setitis peluh petani..' Sebab itulah, aku jarang sekali nak tinggalkan makanan aku berbaki. Sebab aku tau ayah susah nak cari duit untuk sara kami. Alhamdulillah sekarang ekonomi keluarga aku semakin baik. Adik aku sudah bekerja dan mampu membantu keluarga. Masih tinggal aku di sini, berusaha menghabiskan sisa-sisa pengajian yang tidak seberapa ini. Moga aku juga dapat meringankan beban ayah suatu hari nanti.
Ayah dah tua. Pejam celik, rupa-rupanya umur ayah akan masuk 51 tahun tanggal 25 April nanti. Tapi aku dan emak selalu menyakat ayah. Ayah tak tega melihat sehelai uban di kepala. Pasti dia akan cabut uban tersebut sedaya-upaya. Ayah takut tua.. =p
Aku tahu tempat aku di sini. Aku tak pernah lupa. Tapi aku tetap gembira berada disini. Walaupun aku selalu kesal dengan apa yang terjadi, tetapi aku tak dapat nafikan aku tiada tempat lain melainkan bersama ayah, emak dan adik. Dan aku tahu aku tetap sayangkan mereka jauh di lubuk hati tersembunyi. Kerana aku tak pandai mengungkapkan maaf dan sayang, jadinya mungkin aku kelihatan angkuh sekali. Tetapi sebenarnya aku adalah insan biasa, yang takut terluka. Lalu aku pendamkan saja perasaan itu untuk mengelakkan rasa kecewa.
Jadi di sini, hari ini, biarlah semua tahu bahawa aku sayang ayah, emak dan adik tanpa batasan. Dan sayang aku tak boleh ditukar ganti dengan seorang wanita bernama Mariani/Marini atau siapa-siapa saja yang akan mendakwa jika bukan kerana mereka, aku tidak akan wujud di dunia ini.
Pesanan kepada Encik Razali Osman, kak sayang ayah!
No comments:
Post a Comment