Thursday, July 22, 2010

Percayalah, Dia Sayangkan Kamu...

Bismillahirrahmaanirrahiim...

Hari ini aku menulis hanya kerana kamu. Kamu SAHABAT terbaik buat aku. Mengenali kamu beberapa ketika, buat aku sangat memahami kamu. Kamu tak suka menyusahkan orang dan tak suka disusahkan. Kamu berleter seperti perempuan. Kamu bercerita tentang kesulitan kamu. Kamu terima aku seadanya. Kamu bersimpati padaku. Kamu tak berahsia denganku. Kamu percaya pada aku. Dengan aku, kamu tak pernah berpura-pura jadi orang lain. Kamu sentiasa kamu.

Aku selalu anggap kamu SAHABAT baik aku. Walaupun kamu lelaki dan aku perempuan. PERSAHABATAN itu bagiku tak mengenal jantina. Kamu ada buah hati kamu sendiri. Seorang yang kamu begitu inginkan untuk temani kamu selamanya. Kamu bercerita kisah perkenalan dan percintaan kamu. Kamu ceritakan kesedihan kamu. Kamu berkongsi segalanya seperti aku sebahagian dari kamu.

Tapi kali ini aku mengerti jika kamu berdiam diri. Aku sangat mengerti. Dan aku juga tak sampai hati mengganggu kala kamu masih dalam kejutan, tidak percaya, marah, kecewa, sedih dan pilu. Jadi aku hanya mampu menulis di sini buat kamu. Walaupun mungkin kamu tak pernah singgah di sini. Tetap aku mahu coretkannya di sini. Di ruang ini khas untuk kamu. Kesedihan kamu yang hanya dapat dikongsi dari jauh, akan aku abadikan di sini.

Jika kamu telah menangis, atau masih menangis, ketahuilah bahawa aku juga sedang menangis. Kerana kesakitan yang kamu rasa, aku turut merasakannya. Dan aku sangat percaya, setiap dugaan yang kamu terima itu, ada hikmahnya. Dan yakinlah Allah ingin menguji kamu kerana Dia sayangkan kamu. Jadi, teruslah jadi diri kamu yang seadanya. Jangan pernah kamu berubah walau apa pun yang terjadi. Percayalah pada kehendak dan ketentuanNya kerana Dia pasti ada rancangan yang terbaik buat kamu. Kerana aku juga percaya padaNya.

TAKZIAH atas apa yang telah terjadi. Siapa sangka akhirnya jadi begini. Aku harap kamu bertabah, kerana sekarang kamu adalah tonggak utama keluarga kamu. Jadi, kuatkanlah semangat, teguhkanlah hati dan minda kamu. Dan aku tak akan berpaling darimu walau seluruh dunia mengkhianati kamu.

No comments:

Post a Comment